aisyahsoberi@um.edu.my

- Mahasiswa KBGUM Hadiri Sesi Jabatan Bantuan Guaman

KUALA LUMPUR – Mahasiswa Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM) dibenar untuk menghadiri dan memperhatikan sesi bantuan guaman yang dijalankan Jabatan Bantuan Guaman di pejabatnya di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika mengumumkan perkara itu, berkata Jabatan Bantuan Guaman dan fakulti undang-undang akan mewujudkan program kerjasama bagi membolehkan mahasiswa yang terlibat dalam Klinik Bantuan Guaman Universiti Malaya (KBGUM) menghadiri sesi bantuan guaman itu.

“Menerusi kerjasama ini, mahasiswa akan diajar prosedur yang sesuai untuk memberi nasihat undang-undang kepada orang ramai.

“Saya berharap model yang sama dapat diterima pakai bagi menjalin kerjasama dengan universiti lain yang mempunyai klinik guaman di Malaysia, dan ini adalah satu peluang bagi mereka (siswa) mendapat pendedahan kehidupan sebenar dan dengan itu mengukuhkan lagi teoretikal dan praktikal undang-undang mereka,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian KBGUM di UM hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bantuan Guaman Datuk Haini Hassan dan Pemangku Naib Canselor UM Datuk Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud.

KBGUM, sebuah klinik bantuan guaman yang berpusat di Fakulti Undang-undang UM, menyediakan nasihat undang-undang asas secara percuma kepada orang ramai. Ia dikendalikan pelajar undang-undang di bawah pengawasan pengamal undang-undang.

Ia ditubuhkan pada 2014 dan mempunyai 30 penasihat pelajar dan 10 ahli kumpulan sokongan pada satu-satu masa.

Azalina juga mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi KBGUM.

Menteri itu berkata sebagai sebahagian daripada projek perintis, Jabatan Bantuan Guaman juga akan melatih mahasiswa KBGUM untuk menyediakan nasihat undang-undang kepada keluarga mangsa jenayah seksual kanak-kanak sebaik sahaja peraturan dan prosedur operasi standard bagi perkhidmatan pendamping guaman dimuktamadkan oleh jabatan itu. – BERNAMA


 

Contact Details

Klinik Bantuan Guaman,
Fakulti Undang-Undang,
Universiti Malaya,
50603 Kuala Lumpur.

Telephone: 03-79676506
Email: legalaid@um.edu.my