- Peruntukan RM100,000 untuk Klinik Bantuan Guaman UM
KUALA LUMPUR – Klinik Bantuan Guaman Universiti Malaya (UM) menerima peruntukan RM100,000 bagi membantu mereka dalam memberikan khidmat undang-undang kepada masyarakat.
Selain itu, peruntukan yang sama juga bagi memastikan setiap rakyat mendapat khidmat perundangan seperti mana yang dijanjikan sebelum ini.
Peruntukan tersebut diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyifatkan penubuhan klinik guaman selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap rakyat mendapat keadilan.
“Penubuhan klinik bantuan undang-undang seperti Klinik Bantuan Guaman UM ini memainkan peranan penting bukan sahaja dalam membantu orang ramai dan memberikan mereka tempat untuk menerima khidmat dan nasihat guaman percuma tetapi juga sebagai komponen strategi asas dalam memperluaskan akses mendapatkan keadilan secara amnya,” katanya semasa merasmikan klinik guaman tersebut di Fakulti Undang-Undang UM hari ini.
Dengan peruntukan RM100,000, Azalina berharap ia dapat membantu melatih pelajar di klinik tersebut dan digunakan oleh pelajar untuk tujuan kemasyarakatan yang selari dengan matlamat penubuhannya.
“Saya akan menyumbang peruntukan untuk tujuan ini dan seterusnya digunakan tujuan pembangunan pendidikan klinik undang-undang,” katanya.
Selain memberikan khidmat kepada orang ramai, Azalina berkata, klinik sedemikian juga akan mempersiapkan para pelajar jurusan undang-undang dengan persekitaran di luar sana selepas tamat pendidikan mereka kelak.
“Salah satu manfaat yang saya ingin tekankan disini adalah klinik bantuan guaman akan menjadi jambatan antara pelajar fakulti undang-undang dengan masyarakat setempat.
“Pengalaman ini akan memberi mereka kefahaman mengenai kedudukan mereka dalam masyarakat dan memberi mereka tanggungjawab sosial.
“Dalam erti kata lain, ia selari dengan objektif utama kerajaan untuk mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama,” ujarnya.
Selain itu, Azalina juga menekankan klinik guaman yang disediakan oleh kerajaan adalah relevan dan seiring dengan keperluan perubahan dalam masyarakat.
Dalam pada itu, Azalina juga mengumumkan Klinik Bantuan Guaman UM dan Fakulti Undang-Undang UM akan mewujudkan satu program kerjasama dengan memberikan kelonggaran kepada semua pelajar untuk menghadiri dan memantau sesi khidmat bantuan yang dijalankan oleh Jabatan Bantuan Guaman di semua pejabat Jabatan Bantuan Guaman seluruh negara. – MalaysiaGazette